Sejarah Hikayat Aceh

Hikayat Aceh merupakan salah satu kesasteraan bahasa Melayu yang ditulis pada masa dahulu. Pengarangnya tidak diketahui. Ia adalah antara yang masih terselamat sehingga hari ini.
Hikayat Aceh mengisahkan penguasaan Aceh di bawah Iskandar Muda dan dipercayai mula dikarang selepas penabalan Iskandar Muda iaitu 1607 dan sebelum akhir abad ke-17, apabila karya ini diketahui oleh mubalih Belanda, Leidekker.

Kehilangan kesusteraan Melayu

Banyak hasil kesusteraan Melayu yang telah musnah ditelan zaman dan peperangan. Antara punca kemusnahan tulisan kesusteraan Melayu adalah seperti lenyapnya Kerajaan Seri Wijaya serta kedatangan agama Islam ke alam Melayu, yang membawa kepada lenyapnya segala naskah-naskah kesusasteraan Melayu yang berasal dari zaman Hindu dahulu, kerana ia dianggap tidak sesuai dengan kepercayaan Islam.[2], [3]

Selain itu, kerana istana raja menjadi tempat perhimpunan buku-buku, kebanyakannya musnah binasa dimakan api seperti dalam peristiwa kebakaran istana Sultan Mansor Shah seperti tersebut kisahnya di dalam buku Sejarah Melayu[4], selain peristiwa istana Sang Nila Utama yang juga terbakar.[5]
Selain itu, dengan kejatuhan kerajaan Melaka,[6] banyak kehilangan naskah-naskah kesusasteraan lama Melayu apabila Kerajaan Melayu Melaka kalah ditawan oleh Portugis. Banyak buku dan kitab yang musnah terbakar atau tenggelam bersama Flor De La Mar (Flower of the seas).

Kapal laksamana Alfonso de Albuquerque dari Portugis yang dipercayai tenggelam di perairan Aceh Tamiang dan Pasai pada Disember 1511 membawa banyak harta rampasan perang Melaka.[7]
Selain itu, berlaku juga kebakaran pada sebuah kapal yang bernama the Fame yang dalam pelayaran ke British.[8] Dalam kebakaran itu turut musnah segala muatannya iaitu berbagai-bagai khazanah termasuklah perpustakaan lama Melayu yang telah dikumpulkan oleh Stamford Raffles.[9]

Menurut keterangan Abdullah Abdul Kadir Munshi dalam hikayatnya, nyatalah amat banyak perpustakaan lama Melayu yang telah musnah dalam kebakaran kapal the Fame itu. Adapun perpustakaan lama Melayu, iaitu kitab-kitab, hikayat-hikayat dan syair-syair yang musnah itu menurut Hikayat Abdullah penuh berisi di dalam tiga buah peti kulit panjang-panjang sedepa, antaranya ada kira-kira tiga ratus buah buku-buku yang telah dijilid, tidak termasuk naskah-naskah yang belum berjilid, yang bercerai-berai, bergulung dan yang berhelai-helai. Selain daripada itu, ada lagi duah buah peti penuh berisi dengan surat-surat dan kitab-kitab Jawa, Bali dan Bugis dan tulisan-tulisan di atas daun lontar.[10]

Sesungguhnya adalah terbukti bahawa segala khazanah yang telah musnah di dalam kebakaran kapal the Fame itu amat tinggi nilainya kepada Stamford Raffles,[11] kerana ada tersebut di dalam buku yang bernama “Raffles“ of Singapore karangan Reginald Coupland, mengatakan bahawa berbagai-bagai khazanah yang telah dikumpulkan oleh Raffles sebanyak muatan lebih sebuah kapal telah sudahpun dihantarkan ke England beberapa lama terdahulu daripada peristiwa kebakaran kapal the Fame itu, tetapi segala khazanah yang terpilih dan lebih-lebih dihargainya telah dikemudiankan oleh Raffles dengan tujuan ia sendiri hendak memerhatikan keselamatan khazanah-khazanah itu dalam pelayaran.

Malangnya semuanya itu telah musnah, termasuklah segala naskah buku-buku, surat-surat, tulisan di daun-daun lontar dan sebagainya yang telah disimpan ke dalam peti-peti oleh munsyi Abdullah di Singapura itu serta beberapa banyak lagi khazanah-khazanah yang telah terkumpul dan dibawa daripada Bencoolen.
Pada masa kini Hikayat Aceh menjadi salah satu sumber penting pengkajian bahasa Melayu dan untuk penyelidikan ia boleh didapati di Iskandar, T. (2001). Hikayat Aceh. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan. (R 959.81 ISK) / Iskandar, T. (1959). De Hikajat Atjeh. ‘s-Gravenhage: Nederlandsche Boek-en Steendrukkerij V. H. H. L. Smits.(RCLOS 992.1 ISK) Penth, H. (1969). Hikajat Atjeh: Die erzahl.

Sumber : https://ms.wikipedia.org/wiki/Hikayat_Aceh


EmoticonEmoticon